SEJARAH
SK SEMBULAN
Sekolah Kebangsaan Sembulan
pada asalnya dikenali sebagai Government Vernacular Primary School (GVPS),
Jesselton dan diasaskan pada tahun 1947 oleh Cikgu Yunus bin Wali yang berasal
dari Indonesia.
Tapak dan bangunan asal sekolah
ini terletak di kawasan yang dikenali sebagai Batu Tiga. Kini, tapak tersebut
menempatkan bangunan Rumah Pengakap Negeri Sabah dan Sekolah Menengah Maktab
Sabah.
Bangunan asal sekolah ini
diperbuat daripada papan dan beratapkan nipah. Guru Besar GVPS Jesselton yang
pertama ialah Cikgu Baba bin Salleh yang berasal dari Kg.Paya Rumput, Melaka.
Pada awal tahun 1950, sekolah
ini telah dipindahkan sejauh 2.5 km ke tapak sekolah sekarang di Kampung
Sembulan. Nama sekolah ini juga telah diubah kepada Sembulan Government School,
Jesselton; mengambil sempena nama kampung ini. Bangunan baru ini diperbuat
daripada papan dan beratapkan kepingan belian. Sekolah yang dikelilingi hutan
bakau ini mempunyai bilangan murid yang kurang daripada 100 orang.
Setelah Sabah mencapai
kemerdekaan melalui Malaysia pada 16 September 1963, Akta Pelajaran Kebangsaan
telah dikuatkuasakan di Sabah.
Maka, sekali lagi nama sekolah
ini telah ditukarkan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Sembulan, Kota Kinabalu.
Pada awal tahun 1983 sebuah
bangunan baru telah mula dibina dan siap pada akhir tahun yang sama. Bangunan
baru ini terdiri dari dua blok konkrit dan digunakan sepenuhnya pada 3 Januari
1984.
Blok A dan B mempunyai 22 buah
bilik darjah dan telah dirasmikan oleh Tan Sri Datuk Wira Hj.Abdul Rahman bin
Hj.Arshad, mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada hari Ahad, 9 Oktober
1988 bersamaan 28 Safar 1409.
Walau
bagaimanapun pada tahun 2009, berlaku beberapa runtuhan konkrit yang agak
teruk, menyebabkan kedua-dua bangunan sekolah terpaksa dikosongkan serta-merta.
P&P tetap berlangsung walaupun terpaksa dijalankan di kawasan dewan
sekolah, di luar dan di dalam kawasan makmal komputer.
Tetapi atas bantuan dana
daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, 6 buah kabin yang memuatkan 12
buah bilik darjah telah dibina di kawasan padang sekolah. Kabin-kabin tersebut
digunakan secara rasminya oleh calon-calon UPSR pada bulan Ogos 2009.
Penghujung tahun 2012
kerja-kerja merobohkan bangunan-bangunan konkrit telah dimulakan. Sehingga
artikel ini ditulis pada tahun 2013 proses pembinaan sedang giat dijalankan.
No comments:
Post a Comment